Hidroquinon dan produk tempatan, apakah kesannya kepada anda?

Wajah yang cantik menawan memang menjadi idaman semua. Ramai yang tidak tahu, kulit yang sihat dan halus adalah kanvas asas kepada wajah yang menawan.

Berbekalkan kulit yang sihat, segar dan anjal, seseorang tidak perlu berbelanja lebih untk membeli peralatan solekan yang tebal untuk mentutup cela yang ada di wajah.

Cukup dengan kulit yang sihat, anda boleh menyerlahkan wajah yang menawan dan penampilan yang lebih berkeyakinan tanpa perlu bedak seinci tebal.

Saya dan pastinya umum setuju dengan saya bahawa kulit sihat boleh digambarkan dengan keadaan kulit yang licin, halus dan lembut tanpa mengira warna kulit.

Mempunyai kadar lembapan yang cukup dan kadar sebum yang seimbang. mempunyai pori yang halus, tanpa whitehead, blackhead, mahupun jerawat serta kelihatan segar bermaya dan tidak pucat.

Kulit yang sihat juga tidak merasa rengsa iaitu tidak perit, pedih atau merah terbakar apabila terkena matahari dengan perlindungan SPF yang mencukupi.

Dengan keadaan dan kehidupan alaf moden yang sangat sibuk dan “superhectic” mengejar cita-cita dan kejayaan, ramai yang mengabaikan kesihatan kulit baik lelaki dan perempuan.

Ada juga yang sanggup menggunakan produk yang mempunyai hidroquinon untuk mendapatkan hasil yang cepat tanpa memikirkan masalah yang akan timbul disebabkan penggunaan produk tersebut.

Punca Alam Sekitar

Ditambah dengan keadaan cuaca dan persekitaran yang mat tidak membantu. Cuaca panas melampau dengan lapisan ozon yang menipis menyebabkan sinar matahari menjadi lebih agresif sampai ke bumi sekaligus menyebabkan kulit terdedah kepada permasalahan jeragat hiper dan jika ada faktor predispos pada individu boleh menyebabkan masalah kulit dan risiko kanser kulit.

Ngeri bukan?

Keadaan alam sekitar yang tercemar menyebabkan radikal bebas meningkat pada badan sekaligus menyebabkan penuaan sebelum waktu.

Tekanan hidup dan tekanan pekerjaan menjuruskan seseorang kepada cara hidup “personaliti type A” yang bukan saja menyumbang kepada peningkatan radikal bebas malah penyumbang kepada pelbagai jenis penyakit dalaman. (saya ada bercerita mengenai penuaan sebelum waktu pada post terdahulu)

Diet Penyumbang Masalah Kulit

Diet dan pemakanan juga adalah salah satu faktor. Ramai yang ingin kurus dengan cepat mengamalkan diet Atkins. Tahukah anda, diet Atkins yang tinggi protein diambil pada jangka panjang boleh membahayakan kesihatan dan juga sebenarnya menggelapkan dan membuat kulit wajah jadi kusam?

Jika mahu kurus, makanlah secara teratur, banyakkan fiber dalam piramid makanan, iaitu buah-buahan dan sayuran yang sememangnya elok untuk kulit.

Gantilah beras putih kepada beras perang kerana beras perang walaupun tidak sedap sebenarnya amat baik untuk kesihatan dan selain itu ia membantu mengurangkan kulit berjerawat. (Lebihkan air semasa menanak beras perang untuk mengurangkan rasa tidak enak pada beras perang tersebut).

Saya juga suka menyarankan pengambilan suplemen Vitamin C setaip hari sebanyak 1000mg dan juga minum air 8 gelas sehari untuk membantu pencernaan.

Sistem pencernaan yang optimum juga menyumbang kepada kulit yang sihat dan segar.

Makanan Ringan

Kebiasaan makan makanan ringan, rapu, makanan segera serta habit makan di luar juga penyumbang kepada kulit tidak sihat.

Kandungan garam, minyak, gula dan perisa tiruan yang tinggi adalah resepi asas makanan ini.

Makanan sebegini juga penyumbang besar kepada kulit berjerawat dan berminyak. Jangan tertipu dengan iklan dan masaklah sendiri di rumah untuk dapat kualiti makanan dan zat optimum untuk kulit.

Ketidakseimbangan Hormon Menyumbang Masalah Kulit

Selain dari sebab pemakanan, ketidakseimbangan hormon juga boleh menyebabkan jarawat. Pada kaum hawa, adalah lazim jika ada satu atau dua jerawat timbul di waktu datang bulan kerana pada waktu itu terdapat ketidakseimbangan hormon estrogen dan progesteron, begitu juga kala waktu hamil perkara yang sama boleh berlaku.

Terdapat satu keadaan lain di mana kelebihan hormon DHT terkumpul pada kulit. Masalah hormon DHT ini menyebabkan “adult acne” pada wanita yang selalu berlaku di kawasan dagu dan pipi.

DHT juga menyebabkan keguguran rambut pramatang dan jerawat pada bahagian dahi pada kaum adam. ( saya ada menerangkan usaha dan langkah yang boleh diambil untuk regulasi hormon DHT pada post saya yang terdahulu)

Apa yang saya ceritakan di atas adalah sebahagian kecil dan punca-punca lazim yang menyumbang kepada masalah kulit dan kulit menjadi tidak sihat.

Dengan keadaan tersebut juga, kulit kita memang terjejas dan sukar untuk mencapai status sihat. Ramai juga diantara kita yang memilih jalan pintas untuk cantik.

Penggunaan Produk Hidroquinon

Menggunakan produk yang mempunyai kandungan hidroquinon yang tinggi untuk menyelesaikan masalah kulit seperti jeragat dan jerawat.

Memang janji manis mencantikkan kulit menjadi licin, kemerahan dan tegang seawal tiga hari ke seminggu, tetapi hasil penggelupasan tidak terkawal kulit akan jadi merah dan perit, tegang merekah, amat sensitif kepada cahaya matahari dan akhirnya apabila berhenti menggunakan produk tersebut, kulit akan terbakar dan menjadi lebih gelap dengan tompok-tompok hodoh.

Ada juga memilih untuk menggunakan produk bermerkuri dan mempunyai hidroquinon ini untuk kelihatan putih dan cerah dengan kadar segera. Merkuri merencat pembentukan melanin oleh sel melanosit iaitu sel yang mengeluarkan warna untuk kulit sebagai pelindung daripada cahaya matahari.

Lebih terdedah kita kepada matahari, lebih kuat sel melanosit bekerja, kulit akan menjadi lebih gelap (tan). Merkuri juga merencat bacteria P. acnes sekaligus ia dianggap ubat jerawat yang poten. TETAPI, merkuri sangat berbahaya.

Ia boleh meresap ke dalam kulit, boleh dihidu masuk ke peparu dan meresap ke dalam saluran darah. Bagi ibu mengandung merkuri boleh diresap dan dipindahkan kepada janin.

Acrodynia adalah salah satu penyakit yang boleh disebabkan oleh “mercury poisoning” pada janin iaitu sakit dan warna pink kemerahan pada hujung jari bayi yang lahir.

“Mercury poisoning” dan produk berasaskan hidroquinon ini juga boleh menyebabkan rasa kebas, masalah pendengaran (berdengung/ringing), penglihatan dan lain-lain.

Memang kita memerlukan produk kulit sebagai penjagaan luaran dan pelindung daripada faktor-faktor penyumbang yang saya sebutkan di atas. Tetapi, pilihlah jalan yang selamat.

Gunalah produk yang lembut, yang menggunakan bahan rawatan aktif yang terbukti selamat dan juga yang menggunakan bahan alami sebagai agen merawat kulit secara lebut tetapi berkesan.

Paling penting pastikan produk tidak mengandungi bahan tosik dan dan terbukti memudaratkan kesihatan.

Jika masalah kulit seperti jeragat bertompok dan jerawat bernanah sudah mencapai tahap ekstrim, pergilah berjumpa doktor pakar kulit di klinik-klinik berdaftar untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang sewajarnya.

Tiada Jalan Pintas Menyelesaikan Masalah Kulit

Ingat, tiada jalan pintas untuk menyelesaikan apa-apa masalah. Sama juga dengan masalah kulit. Selalunya jalan singkat akan mengudang masalah. (saya suka mengaitkan cerita seram “wrong turn” untuk ini).

Kita perlu berusaha dan usaha di laluan yang betul. Saya percaya setiap penyakit ada ubatnya, dan setiap cita-cita boleh dicapai. Kita cuma perlu berusaha dan selebihnya panjatkan doa pada Allah s.w.t serta tawakkal.

Oh ya, satu lagi ucapan yang saya suka kongsi dengan semua yang saya jumpa ” senyumlah dari hati, senyuman yang ikhlas..wajah pasti berseri”

Anda ada cerita tentang pengalaman masalah kulit atau ada pertanyaan? Sila berkongsi di ruangan komen di bawah.

Sila “Share” dengan rakan rakan anda yang belum membaca artikel saya ini dengan menekan butang share.

Langgan Newsletter saya di bawah untuk mendapatkan tawaran tawaran hebat dari masa ke semasa.

Shares